KEMALANGAN maut di Jalan Gunung Pulai. FOTO tangkap layar video tular
KEMALANGAN maut di Jalan Gunung Pulai. FOTO tangkap layar video tular
Omar Ahmad


Kulai: Dua wanita maut selepas motosikal ditunggangi mereka secara berasingan dipercayai ketika berkonvoi terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh sebuah treler di Jalan Gunung Pulai, di sini, tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis daerah Kulai Superintendan Yusof Othman berkata, kedua-dua penunggang motosikal Y15ZR dan Y16ZR itu hilang kawalan ketika di selekoh Jalan Gunung Pulai dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah treler.

"Salah seorang mangsa berusia 36 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mangsa berusia 38 tahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

"Pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sebelum itu, tular di media sosial video berdurasi 31 saat memaparkan dua motosikal terbabit terbabas ketika melalui selekoh jalan ketika hujan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 9:56 PM