Ruwaida Md Zain


Klang: Kerja-kerja membaikpulih struktur bumbung runtuh, bumbung tercabut, lif rosak, tangki air, mengecat pangsapuri kos rendah dan sederhana di negeri ini menelan belanja RM123.7 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata, peruntukan RM123.7 juta itu membabitkan 357 pangsapuri berkenaan menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Ceria) sejak 2011 sehingga tahun lalu.

"Tahun ini, sebanyak RM7 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program sama di kawasan terpilih, yang boleh didaftar secara dalam talian.

"Berbanding negeri lain, hanya Selangor saja mempunyai skim bantuan baik pulih pangsapuri kos rendah yang konsisten dengan sistem permohonan yang efisien.

"Skim Ceria ini banyak membantu pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC). menampung kos baik pulih kerosakan bangunan.

"Ini selaras hasrat kerajaan negeri membantu golongan B40 yang kebanyakannya mendiami pangsapuri kos rendah dan sederhana rendah," katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Projek Skim Ceria Pangsapuri Bukit Tinggi 1, di sini hari ini.

Menurutnya, kebanyakan permohonan yang diterima membabitkan pembaikan struktur bumbung runtuh, lif rosak, tangki air, cat juga aduan pembuangan sampah dari atas pangsapuri.

"Bagi memastikan aduan lebih cepat diselesaikan, kita minta pengurusan JMB membuat permohonan menerusi sistem e-Ceria dan pihak berkaitan akan cuba selesaikan secara berperingkat," katanya.

Ia secara tidak langsung kerajaan negeri mengambil tanggungjawab meringankan pelbagai masalah pengurusan dan penyelenggaraan bangunan pangsapuri kos rendah yang rata-rata gagal dilaksanakan JMB dan MC.

"Bantuan skim Ceria ini diharapkan dapat memberi motivasi dan inspirasi kepada penduduk supaya segera menubuhkan badan pengurusan dengan komitmen pemilik petak untuk bersama-sama mengurus dan menyelenggara pangsapuri.

"Pematuhan Akta 757 dapat dipastikan sekiranya pihak penduduk peka dengan kepentingan penubuhan JMB/MC seperti melaksanakan kutipan caj, memenuhi keperluan insurans dan membuat tuntutan terhadap tribunal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 3:33 PM
RODZIAH (duduk tengah) bersama wakil penduduk di Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Klang. FOTO Faiz Anuar.
RODZIAH (duduk tengah) bersama wakil penduduk di Pangsapuri Bukit Tinggi 1 di Pangsapuri Bukit Tinggi 1, Klang. FOTO Faiz Anuar.