Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kiri) melihat Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) membuat pemantauan menggunakan dron bagi mengesan kedua-dua tahanan Indonesia yang lolos dari lokap Balai Polis Tapah, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri (kiri) melihat Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) membuat pemantauan menggunakan dron bagi mengesan kedua-dua tahanan Indonesia yang lolos dari lokap Balai Polis Tapah, hari ini. FOTO MELVIN JONI
Melvin Joni


Kuching: Polis memperhebatkan operasi memburu dua tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Tapah di Siburan, Padawan, semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pencarian yang diperluaskan sehingga lima kilometer itu turut membabitkan Pasukan Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU).

Menurutnya, mereka dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak.

"Lima sekatan jalan raya turut diadakan dalam kawasan Padawan iaitu di Balai Polis Beratok, Balai Polis Tapah, Balai Polis Batu Kawa, Balai Polis Batu 10 dan Siburan.

"Ia juga termasuk daerah-daerah bersempadan dengan Padawan iaitu di Kuching, Kota Samarahan, Bau, Lundu, Lubok Antu dan Sri Aman," katanya pada sidang media di Balai Polis Tapah, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai video tular yang mengatakan suspek melarikan diri ke Kampung Mambong, Mohd Azman berkata, pihaknya perlu membuat pengesahan sebelum mengerakkan anggota untuk mengesan suspek.

Katanya, pihaknya memohon orang ramai untuk memberikan maklumat berhubung individu yang mencurigakan bagi membantu PDRM mengesan kedua-dua suspek.

Semalam, Mohd Azman mengesahkan kedua-dua suspek yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Tapah dikenali sebagai Kelvin, 21, dan Bony, 31.

Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Kota Sentosa pada 7 Jun lalu dan ditempatkan di Balai Polis Tapah untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 4:46 PM