Zaid Salim


Kuala Terengganu: Impian seorang wanita melihat kegembiraan suami menyambut kelahiran anak pertama terkubur apabila lelaki itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan, Khamis lalu.

Nor Syazana Norizan @ Ramli, 22, berkata, arwah suami, Muhammad Amir Izuan Sulong, 28, sangat teruja untuk menimang cahaya mata pertama dan setiap hari bercakap mengenai kelengkapan bayi.

"Selepas tahu saya mengandung pada Mac lalu, arwah sangat teruja dan tidak sabar untuk menyambut anak pertama.

"Dia menjaga saya seperti seorang puteri dan setiap hari mengajak saya ke bandar membeli kelengkapan bayi walaupun belum tahu bayi dalam kandungan ini lelaki atau perempuan," katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin, bagi menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat di rumah keluarga arwah suami di Kampung Che Hassan, Gelugor Kedai, di sini, hari ini.

Katanya, arwah suami yang bekerja sebagai mekanik meninggal dunia selepas Perodua Kancil dipandunya secara tiba-tiba melanggar sebuah jentolak ketika dalam perjalanan urusan kerja di Gong Badak, Kuala Nerus.

Kejadian di Kampung Buluh Gading, Manir, di sini, 3 petang itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Berkongsi cerita sebelum kejadian, Nor Syazana berkata, pada pagi hari kejadian, seperti biasa arwah membeli sarapan pagi untuknya sebelum keluar bekerja, tetapi pada hari kejadian, wajah arwah suaminya sangat bersih dan sentiasa tersenyum.

"Selepas solat Subuh, arwah menggosok perut saya dan bertanya bila hendak beli pakaian baby (bayi). Arwah ternampak gambar saya dan dia tenung gambar itu sangat lama sebelum keluar membeli sarapan pagi," katanya.

Nor Syazana yang berasal dari Kampung Kubang Palas, Bukit Payung, Marang berkata, arwah suami seorang yang sangat baik dan disenangi rakan menyebabkan kehilangannya secara mengejut sangat meninggalkan kesan kepada semua keluarga dan sahabat handai serta majikannya.

"Walaupun pahit untuk ditelan, anak dalam kandungan ini memberi kekuatan untuk saya menempuh hari-hari mendatang tanpa suami," katanya.

Dia yang berkelulusan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam berkata, sebelum kemalangan, arwah suami sempat bercakap dengannya menerusi panggilan telefon.

"Arwah nak belikan makanan dan tanya saya nak makan apa sebelum memutuskan talian. Tidak lama selepas itu saya terdengar perbualan abang ipar mengenai suami kemalangan.

"Walaupun kakak ipar cuba menenangkan saya dengan memberitahu suami selamat, naluri seorang isteri dapat mengagak yang suami sudah tiada. Suami pergi genap tiga tahun usia perkahwinan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 6:24 PM
FARIHAH menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat ketika menyantuni Nor Syazana. FOTO Zaid Salim
FARIHAH menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat ketika menyantuni Nor Syazana. FOTO Zaid Salim