KEMALANGAN yang berlaku di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan simpang empat Carok Nau yang membabitkan pegawai kanan polis. FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN yang berlaku di Jalan Baru Baling-Kupang berdekatan simpang empat Carok Nau yang membabitkan pegawai kanan polis. FOTO Ihsan PDRM
Safuri Kamarudin

Baling: "Kakak tidak sabar untuk menatap wajah anak perempuannya yang sepatutnya lahir April ini malah sudah merancang untuk menamakannya Siti Khadijah," kata Nor Akmaniza Abdullah.

Nor Akmaniza, 27, adalah adik ipar kepada Nor Ashikin Abdullah, 30, yang masih dirawat di Hospital Abdul Halim Shah (HSAH) selepas keguguran kandungan berusia tujuh bulan akibat terbabit kemalangan di Jalan Baru Baling-Kupang di sini, malam kelmarin.

Nor Akmaniza berkata, Nor Ashikin sangat gembira apabila mengetahui dia hamil anak perempuan kerana sudah dikurniakan tiga anak lelaki berusia lima hingga 11 tahun.

"Sebelum kejadian, kakak ipar bersama suami, Mohd Hanafiah, dan anak mereka keluar untuk membeli barangan dapur namun membatalkan hasrat itu apabila mendapati pasar raya penuh dengan pelanggan.

"Kakak ipar kemudian mengajak suami ke rumah emak kakak ipar di Kampung Gabus, Pulai kerana mahu makan laksa.

"Ketika dalam perjalanan, mereka terbabit kemalangan di simpang empat Carok Nau menyebabkan anak dalam kandungannya meninggal dunia," katanya dihubungi hari ini.

Pada kejadian jam 9 malam itu, Proton Waja dipandu Mohd Hanafiah dilaporkan terlanggar bahagian hadapan Nissan X Trail dipandu Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, Perak Inspektor Mohd Nasrun Ismail, 39.

Akibat kemalangan itu, Mohd Hanafiah, Nor Ashikin dan seorang anak mereka, Amzar Hazid, 5, parah.

Mereka dirawat di HSAH dan Hospital Kulim.

Nor Akmaniza berkata, ketika ini, dia menjaga Mohd Hanafiah di Hospital Kulim yang cedera di muka, patah kedua-dua buku lali selain betisnya tercucuk objek tajam.

"Kakak ipar dan Amzar pula dirawat di HSAH Sungai Petani dan dijaga kakak.

"Dua lagi anak mereka, Adam Hazim, berusia 11 tahun dan Harith Muhaimin, berumur sembilan tahun, berada di rumah keluarga di Kampung Charok Bemban.

"Kami reda dengan apa yang berlaku dan akan memberi tumpuan untuk menjaga mereka sehingga pulih," katanya.

Berita berkaitan

Pegawai polis parah, wanita keguguran dalam nahas

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 3:30 PM