Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kedai makan dan kedai tambah nilai antara premis yang digunakan individu tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan perjudian haram bagi mengaburi pihak berkuasa.

Tindakan memotong bekalan elektrik terpaksa diambil ke atas premis yang dikesan menjalankan kegiatan itu bagi memastikan ia dapat dihapuskan daripada terus berleluasa.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sebanyak 187 premis mendapat kebenaran pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi tempoh tiga hari bermula semalam hingga esok.

"Kita melancarkan satu operasi bersepadu bersama TNB dan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara semalam sehingga esok.

"Dalam tiga hari ini, sebanyak 187 permohonan bagi pemotongan bekalan elektrik diluluskan.

"Tindakan ini selaras dengan peruntukan undang-undang mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias menyertai Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik di Taman Mawar, Taman Pasir Putih dan Taman Cendana dekat Pasir Gudang di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias menyertai Operasi Bersepadu Pemotongan Bekalan Elektrik di Taman Mawar, Taman Pasir Putih dan Taman Cendana dekat Pasir Gudang di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Terdahulu, operasi bersepadu itu turut dijalankan di Taman Mawar, Taman Pasir Putih dan Taman Cendana dekat Pasir Gudang di sini, hari ini, diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaruzaman Elias.

Difahamkan, kebanyakan premis yang dipotong bekalan elektrik hari ini beroperasi antara tiga hingga enam bulan.

Seramai 183 pegawai dan anggota polis serta 63 kakitangan TNB dan 31 kakitangan PBT terbabit dalam operasi bersepadu bermula semalam.

Kamarul Zaman berkata, bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 632 serbuan membabitkan semua jenis perjudian dalam talian dijalankan dengan seramai 711 individu ditahan berusia antara 17 hingga 60 tahun.

"Sepanjang tempoh itu, kita turut merampas 782 telefon bimbit, lapan 'tab', satu komputer, lima komputer riba dan wang tunai berjumlah RM237,918," katanya.

Beliau menegaskan bahawa Polis Johor sentiasa menjalankan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram bagi membanteras kegiatan itu daripada aktif dan berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 1:43 PM