LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama dengan polis Thailand dan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki Angie Chong Sum Yee, 22, yang dilaporkan hilang di Chiang Mai, Thailand, baru-baru ini.

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, PDRM turut mendapat kerjasama pihak berkuasa lain di Thailand dan Myanmar serta pelbagai pihak lagi.

"PDRM menerima laporan daripada ibu Angie yang hilang di Chiang Mai, Thailand pada 2 Jun lalu.

"Usaha untuk mengesan mangsa sedang giat dijalankan oleh Polis Thailand melalui bantuan Interpol, PDRM dan juga kerjasama pihak berkuasa Thailand, Myanmar dan lain-lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, usaha mencari Angie menemui sinar baharu apabila kelibatnya dikatakan dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Abangnya, Chong dilaporkan berkata, perkara itu tersebar selepas rakaman CCTV memaparkan seorang wanita mirip adiknya disiarkan menerusi satu laporan berita di Thailand, pada Ahad.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang wanita meminta tolong orang ramai untuk mencari mangsa yang juga seorang pakar kecantikan.

Dalam hantaran di Facebook, wanita berkenaan merayu bantuan orang ramai selepas Angie gagal dihubungi lebih daripada 24 jam.

Perkara itu mendapat perhatian penduduk di sekitar Chiang Mai, Thailand malah ia turut dilaporkan media di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 3:53 PM