Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Bekas pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia Ladang Rakyat Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan salah guna kuasa membabitkan pembekalan kad sim bernilai RM4,428.60.

Tertuduh, Shahrizal Ridzuan Ambak, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila mengambil tindakan membuat pembekalan kad sim kepada 117 pekerja baharu warga India berjumlah RM4,428.60

Tertuduh mempunyai kepentingan memandangkan agen pembekalan kad sim itu adalah anaknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ladang Rakyat Terengganu, Cheneh, Kemaman antara Julai hingga September 2022.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 berdepan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan sepanjang prosiding berlangsung.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Nur Raihan Yusoff dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 12:27 PM