PASUKAN bomba membantu mengeluarkan lelaki OKU yang maut selepas tercampak ke dalam longkang. FOTO Ihsan Pembaca.
PASUKAN bomba membantu mengeluarkan lelaki OKU yang maut selepas tercampak ke dalam longkang. FOTO Ihsan Pembaca.
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Lelaki orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar tiang elektrik berhampiran sebuah resort di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Fandi Aziz, 43, yang kudung kaki kanan ditemui orang awam di dalam longkang, pada 10 pagi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, difahamkan ketika kejadian, mangsa yang bekerja sebagai penjaga pantai di Teluk Kemang menunggang motosikal SYM Bonus berwarna merah terbabas sendiri dan maut di tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai dari jalan pantai menghala resort berkenaan.

"Sebaik sampai di Jalan Kemang 13, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di kiri bahu jalan, dan tercampak ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhammad Mustafah berkata, mangsa yang parah di kepala disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas Hospital Port Dickson.

"Kemalangan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 11:57 PM