GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang bekas eksekutif akaun firma guaman didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan hari ini, atas sembilan pertuduhan pecah amanah berjumlah hampir RM1 juta, tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, Abu Zarin Haron, 46, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, Kamarudin Kamsun dan Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, Abu Zarin sebagai eksekutif akaun diamanahkan penguasaan ke atas klien firma melakukan pecah amanah dengan pengeluaran cek RM217,000, RM200,000, RM354,606.7, RM32,045, RM69,191.66, RM22,000, RM17,894.9, RM11,891.95 dan RM12,000.19 tanpa pengetahuan firma bagi kegunaan sendiri.

Kesalahan dilakukan di Tetuan Zainal Abidin dan Co. Plaza Permata, Sentul di sini, antara 4 September 2020 hingga 14 Oktober 2021 mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif, menawarkan jaminan RM125,000 untuk enam tuduhan, dengan syarat tambahan difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya Akmalzatul Mohamed Nawi, memohon jaminan RM50,000 bagi tiga lagi tuduhan, dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan di balai polis berdekatan setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Kassim Ludin, memohon jaminan dikurangkan, sebaliknya dikenakan pada kadar yang munasabah.

"Anak guam kini tidak bekerja dan menanggung isteri yang masih belajar serta tiga anak. Bapanya pula ada sakit jantung dan paru-paru berair.

"Semua mereka berada di bawah tanggungan anak guam. Menjadi prinsip undang-undang tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah, selain anak guam sudah memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin terhadap Abu Zarin bagi semua tuduhan, selain syarat tambahan pasport diserahkan hingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 2:40 PM