SYED Hussain (tiga kanan) menyerahkan replika cek kepada Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah. FOTO Syaharim Abidin
SYED Hussain (tiga kanan) menyerahkan replika cek kepada Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah. FOTO Syaharim Abidin
M Hifzuddin Ikhsan


Baling: Media Prima Berhad (MPB) menyerahkan sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima berjumlah RM118,200 kepada 591 keluarga mangsa bencana banjir lumpur dan aliran puing yang berlaku tahun lalu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Syed Hussian Aljunid berkata, sumbangan sebanyak RM200 setiap keluarga itu bertujuan meringankan beban mangsa yang terkesan akibat bencana yang melanda.

Katanya, sumbangan terbabit diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling yang kemudian akan mengagihkan bantuan terbabit kepada setiap keluarga mangsa yang sudah dikenal pasti.

"Hari ini kita menyerahkan sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima berjumlah RM118,200 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling untuk diagihkan kepada 591 mangsa bencana di daerah Baling.

"Kami berharap sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan mangsa bencana yang masih dalam proses pemulihan dan memulakan kehidupan baharu selepas kejadian," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Hussian berkata, usaha membantu orang ramai akan diteruskan MPB melalui misi bantuan khususnya di negeri yang terkesan akibat bencana yang berlaku.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah berkata, pihaknya akan segera menyalurkan bantuan berkenaan kepada mangsa khususnya di Kampung Iboi yang paling teruk terjejas dalam kejadian Julai tahun lalu.

"Bagi pihak Jawatankuasa Bencana Daerah Baling, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak MPB yang sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh mukim daerah ini.

"Daerah ini boleh dianggap kerap berlaku banjir kilat dengan purata kejadian dua kali sebulan antara tempoh Jun hingga Disember tahun lalu, jadi kita memang sangat mengharapkan bantuan sebegini," katanya.

Mohd Shahadan berkata, pihaknya juga kini dalam persediaan berhadapan musim hujan dan kemungkinan banjir kilat sekali lagi tahun ini terutama bermula tempoh September hingga hujung tahun.

Kejadian banjir puing pada 4 Julai tahun lalu, menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM28 juta.

Bagi orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat 14010008843712.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 6:04 PM