MOHD Hairi pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada. FOTO Izz Laily Hussein
MOHD Hairi pada sidang media selepas merasmikan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Penyokong Umno terutamanya dalam kalangan generasi muda tidak mempunyai masalah mengundi calon Pakatan Harapan (PH) termasuklah daripada DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Naib Ketua Pemuda Umno, Mohd Hairi Mad Shah berkata, hal itu kerana generasi muda kini celik politik dan tidak lagi terikat dengan pelbagai sentimen negatif yang dimainkan generasi terdahulu.

Beliau berkata, generasi muda termasuk penyokong Umno kini berdepan dinamik politik baharu berikutan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

"Untuk orang muda, saya rasa tiada masalah (undi calon DAP), ini kerana negara sedang berdepan hala tuju dan dunia baharu dalam politik tempatan, ini adalah satu dinamik baharu.

"Undi memang rahsia, tetapi saya harap anak muda dapat lihat momentum kerajaan hari ini untuk memacu negara ke arah lebih baik, jadi biarlah mereka mengundi calon yang tujuannya mengukuhkan kerajaan perpaduan.

"Sentimen yang dimainkan generasi terdahulu seperti Melayu rasis, Cina rasis itu sudah hilang selepas kita bekerjasama, kini dilihat masing-masing memahami satu sama lain, isu kecil tidak perlu diperbesarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menggesa penyokong Umno mengundi calon DAP pada PRN enam negeri akan datang

Pada masa sama, Mohd Hairi berkata, pembangkang (Perikatan Nasional) juga tidak perlu menjadikan isu terbabit sebagai isu politik.

"Kini semua parti politik sudah pernah bekerjasama. Dulu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sendiri bekerjasama dengan DAP, ketika itu Umno tidak cakap apa-apa.

"Tetapi hari ini, mereka (Bersatu dan Pas) cakap-cakap tentang Umno dan DAP pula, sedangkan dulu mereka sendiri pernah bekerjasama. Jadi, bermaksud tiada halangan untuk BN dan PH bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2023 @ 2:35 PM