GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Georgetown: Polis menerima 11 laporan berhubung kejadian premis menjual kenderaan terpakai di kawasan Green Lane dan Pulau Tikus, di sini disimpah asid sehingga menyebabkan kerosakan pada kenderaan yang dijual di situ.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu bermula awal bulan ini sehingga beberapa hari lalu membabitkan 10 premis menjual kenderaan terpakai.

"Ada (premis) yang dua kali disimbah asid, polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Polis tidak menolak kemungkinan kejadian menyimbah asid sehingga merosakkan kenderaan yang dijual di premis itu dilakukan oleh pihak atau suspek yang sama dan usaha mengesan mereka yang terbabit giat dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu mendakwa mereka tidak berhutang dengan along, bermusuh, bergaduh atau perselisihan faham dengan mana-mana pihak sehingga premis mereka disimbah asid.

Soffian berkata pihak polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut punca sebenar kejadian itu dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di kawasan kejadian bagi mengesan suspek.

Katanya, kes itu disiasat menurut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat.

"Jumlah keseluruhan kerugian kerosakan oleh semua pemilik premis menjual kenderaan terpakai itu sedang kita dapatkan daripada mereka," katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pihak polis bagi menyalurkan maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 6:05 PM