TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Farizul Hafiz Awang.
TAN Sri Acryl Sani Abdullah Sani. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Raja Noraina Raja Rahim dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada kerajaan berhubung keputusan isu kalimah Allah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, polis sudah menjalankan siasatan berhubung perkara berkenaan dan menyerahkan kepada kerajaan untuk tindakan lanjut.

"Kita serah kepada pihak kerajaan untuk menyelesaikan perkara ini kerana saya percaya akan ada satu taklimat kepada Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini.

"Saya percaya isu terbabit sudah pun diselesaikan dengan baik dan saya rasa eloklah kita selesai di situ (Majlis Raja-Raja) dan tidak ada lagi isu yang timbul," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea Bersama Media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah untuk mempersembahkan cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah 'Allah' kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri dalam kenyataan media berkata, ia bagi menyelesaikan isu kalimah Allah secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau dipetik berkata, kerajaan juga komited memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di Malaysia.

Mesyuarat Jemaah Menteri semalam membincangkan mengenai keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah Allah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 6:30 PM