GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak Forestry Corporation (SFC) membangunkan aplikasi khusus selain mendapatkan bantuan pakar luar negara bagi memperkasakan Pelan Pengurusan Bersepadu Buaya berikutan kekerapan serangan reptilia itu di negeri terbabit.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata, kerjasama dengan pakar buaya Australia, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat (AS) itu antara langkah jangka panjang SFC untuk menangani konflik buaya dengan manusia yang semakin membimbangkan.

Selain itu, menurutnya, SFC juga menggunakan sistem penentu global (GPS) dan dron bagi merekod taburan buaya serta sarang reptilia itu.

"Selain kerjasama dengan pakar antarabangsa, SFC bekerjasama dengan Sarawak Information System (SAINS) untuk membangunkan aplikasi pengkalan data bagi memantau taburan buaya secara data masa nyata (real time).

"Menerusi kaedah itu, kita dapat mengenalpasti lokasi serta populasi buaya dengan lebih berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Chee Kadir (GPS-Kabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Len Talif berkata, beberapa langkah pemuliharaan buaya sebagai haiwan terlindung yang diambil sebelum ini membuahkan hasil positif apabila populasi reptilia itu meningkat dengan ketara.

"Bagaimanapun, pada masa yang sama, peningkatan populasi buaya itu meningkatkan lagi konflik dengan manusia.

"Justeru kerajaan merangka pelan pengurusan baharu yang lebih komprehensif iaitu meneruskan usaha pemuliharaan buaya dan habitatnya, memastikan keselamatan penduduk terjamin serta memanfaatkan buaya sebagai sumber asli secara lestari," katanya.

Mengenai tindakan untuk mengurangkan ancaman buaya, Len Talif berkata, antara langkah yang diambil SFC sejak 2020 hingga kini ialah menjalankan 107 operasi dan menangkap 95 ekor buaya serta memindahkan 482 biji telur reptilia itu.

"Dalam tempoh 2020 hingga 2022, sebanyak 77 lesen pemburuan buaya dikeluarkan dan sejumlah 133 ekor buaya berjaya ditangkap," katanya.

Terdahulu, Mohd Chee dalam soalan bertulis bertanyakan langkah kerajaan untuk membendung ancaman buaya terhadap penduduk selain menangani populasi buaya yang semakin bertambah.

Serangan buaya sering mencetuskan kebimbangan khususnya kalangan penduduk yang tinggal di tebing sungai di negeri ini.

Terbaru pada 6 Mei lalu, seorang nelayan berusia 58 tahun maut disambar buaya di Sungai Batang Oya di Dalat dalam Bahagian Mukah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 2:16 PM