SEBAHAGIAN ganja mampat yang dirampas dalam sebuah kenderaan dinaiki lapan warga asing. FOTO Ihsan PDRM.
SEBAHAGIAN ganja mampat yang dirampas dalam sebuah kenderaan dinaiki lapan warga asing. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


Padang Terap: Polis merampas 10 kilogram (kg) ganja susulan penahanan lapan warga asing termasuk dua wanita di Kuala Nerangm dekat sini, 10 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, kesemua suspek ditangkap pada 4 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan sewaktu pegawai dan anggota polis terbabit melakukan Rondaan cegah jenayah di Jalan Padang Setul, Kuala Nerang.

"Mereka terserempak dengan sebuah kenderaan Perodua Kembara dengan nombor pendaftaran tempatan yang mencurigakan.

"Berikutan itu, pasukan polis mengekori kenderaan terbabit sehingga ia berhenti di kawasan kebun getah Kampung Padang Setul, Kuala Nerang.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai pegawai polis, didapati pemandu kenderaan itu adalah lelaki warga Myanmar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mulkiaman berkata, pemeriksaan di dalam kenderaan itu mendapati terdapat tujuh penumpang lagi iaitu tiga lelaki Myanmar, dan masing-masing dua lelaki Thailand serta wanita Myanmar.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam beg galas di dalam kenderaan itu mengandungi lima ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja dan satu guni di dalamnya terdapat lima ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja.

"Anggaran berat keseluruhan ganja yang ditemui adalah 10 ketulan seberat 10 kilogram (kg).

"Kesemua tangkapan bersama ganja yang dirampas dibawa ke IPD Padang Terap untuk tindakan lanjut," katanya.

Mulkiaman berkata, empat suspek terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala empat lagi mempunyai pasport tetapi tiada cop rasmi dari Jabatan Imigresen untuk masuk ke negara ini.

Beliau berkata, kesemua tangkapan berusia antara 19 hingga 48 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) ADB 1952 serta Akta Imigresen.

"Kesemua tangkapan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bermula 10 hingga 17 Mei.

"Siasatan masih dilakukan sama ada mereka terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah atau sebaliknya, " katanya.

Mulkiaman berkata, PDRM khususnya IPD Padang Terap akan terus meningkatkan usaha dalam menjalankan risikan bagi mengesan dan menumpaskan aktiviti berkaitan pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 10:02 PM