KEADAAN air deras akibat hujan lebat di kawasan Pusat Rekreasi Batu Hampar. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN air deras akibat hujan lebat di kawasan Pusat Rekreasi Batu Hampar. FOTO Ihsan Bomba
Zuliaty Zulkiffli


Yan: Seorang pemandu jengkaut terselamat daripada terperangkap di seberang sungai dalam kejadian air deras berdekatan Pusat Rekreasi Batu Hampar, di sini, disebabkan hujan lebat.

Dalam kejadian sekitar 6 petang itu, mangsa, S Lethumanan, 30-an dikatakan sedang melakukan kerja pembersihan di kawasan itu.

Bagaimanapun, air deras yang mengalir laju akibat hujan lebat menyebabkan mangsa terperangkap di situ.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, mangsa berjaya diselamatkan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.06 petang dan pasukan BBP Yan tiba di lokasi untuk melakukan penyelamatan.

"Operasi disertai lima anggota yang diketuai Dr Rosdi Yusof.

"Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan mangsa adalah pemandu jengkaut yang melakukan kerja pembersihan di kawasan air terjun itu.

"Mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan anggota bomba dengan teknik menyelamat menggunakan tali bagi menyelamatkan mangsa ketika aliran air sungai terbabit sudah perlahan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sayani berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.23 malam.

Beliau berkata, kejadian ini bukan kepala air seperti yang berlaku pada Ogos lalu namun kejadian air deras ini berlaku akibat hujan lebat yang lama.

Dalam kejadian kepala air yang berlaku pada 18 Ogos lalu, enam mangsa ditemui meninggal dunia akibat fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan Titi Hayun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 10:07 PM