MOHD Sobri dan isterinya, Massuati dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan menipu urus niaga baju kurung.  FOTO Muhammad Lokman Khairi
MOHD Sobri dan isterinya, Massuati dituduh di Mahkamah Majistret Seri Manjung atas pertuduhan menipu urus niaga baju kurung. FOTO Muhammad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi


Manjung: Sepasang suami isteri dihadapkan di Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini atas pertuduhan menipu urusan jual beli baju kurung membabitkan nilai kerugian RM158 pada Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Sobri Togil, 47, dan Massuati Amran, 46, mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret T Kavitha.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan bersama, mereka didapati melakukan penipuan terhadap mangsa, Nur Sabrina Aiman Mohd Rosszi dengan memperdaya mangsa melakukan pembayaran atas talian atas tujuan membekalkan sehelai baju kurung menyebabkan kerugian RM158.

Perbuatan berkenaan dilakukan kedua-dua tertuduh atas nama perniagaan Seri Kenanga Enterprise antara jam 4.44 petang pada 13 Februari lalu di alamat No. 15, Jalan Lumut, Sitiawan, dekat sini.

Mangsa bagaimana pun tidak memperoleh baju kurung seperti mana yang dijanjikan bertindak membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 31 Mac lalu.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan perlanggaran Seksyen 16(c) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan melakukan kesalahan mengikut 25(1)(b) Akta yang sama serta yang Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Mohd Sobri yang juga pemilik tunggal perniagaan Seri Kenanga Enterprise berdepan satu lagi pertuduhan gagal mendedahkan maklumat berkaitan nombor pendaftaran perniagaan.

Perbuatan tersebut dilakukan Mohd Sobri pada 12 Mei lalu jam lebih kurang 1.10 petang di KPDN Cawangan Manjung.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perniagaan Elektronik) 2012 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 145(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Jika sabit kesalahan, Mohd Sobri boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Pendakwa dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Syazwani Zawawi yang menawarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap orang berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri satu kali bagi setiap bulan di balai polis berhampiran.

Peguam mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan semula jumlah jaminan berkenaan atas sebab akaun perniagaan tertuduh sudah dibekukan selain perlu menyara dua anak mereka masing-masing berusia tiga dan 10 tahun.

Mahkamah kemudian menetapkan bagi pertuduhan pertama, jaminan RM2,500 terhadap Mohd Sobri dan RM5,500 terhadap Massuati dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta pasport mesti diserahkan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Bagi pertuduhan kedua pula, mahkamah menetapkan, jaminan RM3,500 terhadap Mohd Sobri dengan seorang penjamin berserta pasport mesti diserahkan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Sebutan semula kes 15 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 1:26 PM