FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli

SETIAUSAHA sebuah koperasi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen yang sah berhubung pelaburan emas lebih RM100,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, tertuduh Nur Nazuhaili Harun, 33, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di sebuah koperasi di Selangor itu didakwa menerima deposit berjumlah RM117,000 daripada Mohd Yusoff Ayob, 66, tanpa lesen yang sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di City Garden Palm Villa Condominium, Taman Cempaka, Ampang, pada 14 Ogos 2014.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Nur Nazuhaili yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan akan menyelesaikan kes ini di luar mahkamah.

“Saya sudah menyelesaikan separuh daripada wang diambil dan selebihnya saya akan cuba selesaikan di luar mahkamah,” katanya.

Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Ampang Jaya sebulan sekali dan pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Oktober 2018 @ 3:08 PM