BAYI lelaki yang ditinggalkan di bawah pokok di Kampung Peramu. FOTO ihsan JKM
BAYI lelaki yang ditinggalkan di bawah pokok di Kampung Peramu. FOTO ihsan JKM
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai waris kepada bayi lelaki yang ditemui di bawah pokok di Kampung Peramu, di sini, diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuantan.

Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Kuantan, Wan Norazlina Wan Aziz berkata, bayi itu kini ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKKSHAK), dekat Penor, di sini, selepas mendapat perintah jagaan sementara.

"Dalam pada itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuantan (MBKK) turut mengarahkan supaya siaran media mengenai pencarian waris dilakukan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha lain mengesan waris turut dilakukan namun ia berdepan kesukaran berikutan bayi itu ditinggalkan tanpa sebarang dokumen sebelum ditemui orang awam.

"Kita berharap ibu kandungnya segera kembali untuk membantu pihak JKM untuk menguruskan dokumen anaknya.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi ini, diminta hadir di PKMD Kuantan atau menghubungi pasukan pelindung di talian 09-5724225," katanya.

Pada 29 April lalu, media melaporkan seorang bayi ditemui ditinggalkan di atas papan di bawah pokok di kampung itu jam 12.10 tengah hari.

Bayi malang itu ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dengan kesan darah kering pada badannya selain terdapat kesan gigitan serangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 5:41 PM