AHMAD Hasif FOTO Ihsan PDRM
AHMAD Hasif FOTO Ihsan PDRM
Samadi Ahmad


Putrajaya: Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) sejak Sabtu lalu.

Ahmad Hasif Mohd Hafizi dilaporkan keluar dari rumahnya antara jam 2 hingga 5 pagi pada hari kejadian.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, bapa mangsa, Mohd Hafizi Hussin, 45, menyedari anaknya tiada di rumah pada jam 5 pagi.

Menurutnya, remaja berkenaan meninggalkan surat menyatakan meminjam wang RM50 dan mahu mencari kerja.

"Bapa remaja itu sudah mencari anaknya di kawasan sekitar. Remaja itu tidak membawa telefon bimbit dan sehingga kini masih belum ditemui.

"Remaja ini adalah anak kedua daripada enam beradik. Fizikalnya berbadan kurus, rambut pendek, bercermin mata dan pakaian terakhir memakai jersi warna biru berseluar kargo, berselipar dan membawa beg bimbit Hello Kitty.

"Polis masih meneruskan usaha untuk mengesan remaja terbabit dan berharap mangsa dapat menghubungi keluarga dan pulang semula ke rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 12:54 AM