GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Asrol Awang

Kuantan: Kes kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Pulau Tioman yang mendapatkan rawatan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini malam tadi, bukannya disebabkan strok haba.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil daripada siasatan, satu kes dirujuk dari Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman ke HTAA, 11.45 malam tadi.

Katanya, ia melalui penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan diagnosis meningitis iaitu jangkitan kuman pada otak.

"Kes ini membabitkan kanak-kanak lelaki dari Pulau Tioman yang mendapatkan rawatan dengan simptom sawan setelah mengalami demam, muntah dan keletihan selama dua hari.

"Pesakit seterusnya dirawat di Jabatan Kecemasan HTAA dan menjalani siasatan melalui CT Scan, pengambilan darah dan diberikan rawatan selanjutnya.

"Pesakit dalam keadaan stabil dengan diagnosis adalah meningoencephalitis iaitu jangkitan pada otak dan bukan strok haba seperti yang tular sebelum ini.

"Pesakit seterusnya dimasukkan ke wad kanak-kanak HTAA untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2023 @ 2:47 PM