Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali tiba di Kompleks Mahkamah di sini, pagi ini bagi mengetahui nasibnya sama ada dilepaskan atau disabitkan atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down dikenali Bella.

Siti Bainun yang memakai baju kuning dan berseluar hitam ditemani seorang wanita, memasuki lobi mahkamah jam 8.20 pagi.

Sekumpulan media yang menunggu di lobi merakam foto dan video ketibaannya, namun dia kelihatan tenang.

Pada 9 Mac lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas kesemua lapan saksi selesai memberi keterangan pada prosiding yang bermula sejak 26 Januari lalu.

Pada 16 Januari lalu, kes pembelaan Siti Bainun, 31, menjadi hangat apabila lima peguamnya iaitu Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor, Mohammad Farhan Maarof, Nur Ellena Mohamed Razif, Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil menarik diri daripada mewakili Siti Bainun sekali gus menjadikan tertuduh tidak mempunyai peguam sehingga memaksa prosiding ditangguhkan sementara.

SITI Bainun (kiri) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk mendengar keputusan akhir pembelaan terhadap tuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down. FOTO ASWADI ALIAS.
SITI Bainun (kiri) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk mendengar keputusan akhir pembelaan terhadap tuduhan mengabai dan menganiaya remaja Sindrom Down. FOTO ASWADI ALIAS.

Pada 26 Januari lalu, Hakim Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun memberi keterangan membela diri walaupun wanita itu tidak diwakili peguam supaya tidak mengganggu perjalanan kes.

Bagaimanapun, pada 20 Februari lalu, Siti Bainun melantik semula Mohammad Farhan yang pernah mewakilinya semasa perbicaraan di peringkat pendakwaan.

Pendakwaan mengemukakan 22 saksi termasuk bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood; pakar psikiatri, Dr Wan Asyikin Wan Azlan; pembantu pengurus syarikat swasta, Zurianty Sudin dan pakar bedah plastik, Dr Salmi Mohamed Shukur yang memberi keterangan pada perbicaraan bermula 30 Mac 2022.

Pada 24 November 2022, mahkamah memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari sehingga Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 9:09 AM