ENAM mangsa cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan jatuh gaung di Kilometer 14, Jalan Keningau-Sook. FOTO Ihsan JBPM.
ENAM mangsa cedera ringan selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan jatuh gaung di Kilometer 14, Jalan Keningau-Sook. FOTO Ihsan JBPM.
Juwan Riduan


Keningau: Enam individu termasuk tiga kanak-kanak terselamat apabila kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan jatuh gaung sedalam 15 meter di Kilometer 14, Jalan Keningau-Sook, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.29 petang.

Katanya, seramai 16 pegawai dan anggota bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau dan Sook digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipercayai terbabas sendiri dan jatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter.

"Enam mangsa terbabit iaitu seorang lelaki dan dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki serta seorang kanak-kanak perempuan cedera ringan dikeluarkan oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa cedera seterusnya menghantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS dan Ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Operasi tamat pada 4.27 petang," katanya.

Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 6:00 PM