Mohd Roji Kawi

Kuching: Aidilfitri disambut meriah hari ini tanpa garis panduan khusus seperti tiga tahun lalu meskipun kebimbangan terhadap penularan Covid-19 masih membelenggu masyarakat susulan penemuan varian Arcturus (XBB1.16) dikesan di Sarawak.

Sambutan dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri yang diadakan dalam kapasiti penuh di semua masjid dan surau.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud menyertai lebih 5,000 rakyat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya, pagi tadi.

Turut menunaikan solat di masjid utama negeri itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

Selesai solat Abdul Taib dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2023 di Dewan Besar Astana Negeri Sarawak bermula 10.30 pagi hingga 4.30 petang.

Esok, beliau akan mengadakan rumah terbuka Aidilfitri hari kedua di lokasi sama mulai jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Abang Johari turut menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri hari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bermula 10.30 pagi hingga 4 petang.

TUN Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan Solat Aidil-Fitri di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari.
TUN Abdul Taib Mahmud dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan Solat Aidil-Fitri di Masjid Jamek Petra Jaya Kuching. FOTO Nadim Bokhari.

Sementara itu, Abang Johari dalam perutusan Aidilfitri berkata, pembangunan modal insan terlatih dan berpengetahuan tinggi dengan sistem pendidikan bertaraf dunia menjadi keutamaan Sarawak dalam misi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Beliau berkata, ia penting kerana kekayaan sumber asli saja tidak akan menjamin kejayaan sepenuhnya.

"Sarawak boleh belajar daripada negara seperti Singapura dan Jepun, yang menjadi kuasa ekonomi global kerana sumber manusia mereka walaupun tidak mempunyai sebarang sumber asli.

"Oleh itu, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), akan terus memperkukuh sistem pendidikan negeri selaras dengan peruntukan Fasal 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), yang memberi Sarawak kuasa untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan," katanya.

Abang Johari berkata kesungguhan kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia dapat dilihat daripada cadangan penubuhan lima sekolah antarabangsa menggunakan sukatan pelajaran Cambridge.

"Sarawak juga mempunyai empat universiti yang dimiliki melalui Yayasan Sarawak iaitu Universiti Teknologi Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dan Kolej Universiti iCATS selain mempunyai pusat latihan CENTEXS dengan kampus cawangan di beberapa kawasan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 1:20 PM