Mohamad menyampaikan sijil penghargaan kepada Panglima Angkatan bersama selaku peneraju operasi, Noor Akmar pada majlis penghargaan Tim Operasi STARLIGHT II di Dewan Perkasa, Wisma Perwira. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Mohamad menyampaikan sijil penghargaan kepada Panglima Angkatan bersama selaku peneraju operasi, Noor Akmar pada majlis penghargaan Tim Operasi STARLIGHT II di Dewan Perkasa, Wisma Perwira. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: 110 pegawai dan anggota Kor Kesihatan Diraja yang terbabit Misi Operasi STARLIGHT II di Celikhan, Adiyaman, Turkiye selama enam minggu diraikan dalam majlis penghargaan bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan di Wisma Perwira, di sini, hari ini.

Menurut Mohamad, semua yang terbabit berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sepanjang penugasan sejak 9 Februari hingga 28 Mac lalu untuk berkhidmat memberi bantuan perubatan kepada mangsa terjejas.

"Selama enam minggu, kamu semua menjalankan misi dengan begitu baik. Nama negara kita dan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi sebutan kepimpinan Turkiye terutamanya Menteri Pertahanan Turkiye (Hulusi Akar).

"Beliau (Hulusi) beberapa kali menyebut betapa gembiranya mereka apabila kita datang membantu dan Malaysia adalah antara negara pertama hantar bantuan operasi dan menyelamat serta membina hospital medan di sana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Tim Misi Operasi STARLIGHT II di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Mohamad turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil setiap elemen perkhidmatan yang menjayakan misi itu.

Antara penerima sijil penghargaan itu adalah Peneraju Operasi, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Md Dom, Pemerintah Operasi Brigedier Jeneral Datuk Dr Amran Amir Hamzah dan Pegawai Memerintah Hospital Medan Malaysia (HMM) Kolonel Dr Yussra Yusoff.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz serta Duta Besar Turki di Malaysia Emir Salim YĆ¼ksel.

HMM memulakan operasi pada 15 Febuari lalu dengan menawarkan perkhidmatan perubatan bagi tahap tiga termasuk prosedur pembedahan kepada masyarakat setempat serta Outreach Medical Program dengan petugas berkunjung ke rumah mangsa untuk pemeriksaan perubatan.

Sepanjang operasi itu, seramai 2,415 pesakit dirawat termasuk 83 kes pembedahan berjaya dilaksanakan serta 159 pesakit diberikan rawatan menerusi Forward Medical Team (FMT) dalam tempoh berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 9:54 PM