GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan disyaki memukul abang sendiri menggunakan getah paip, pisau dan batang besi akibat berang ditegur dalam kejadian di Taman Bukit Angkasa, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, suspek memaki hamun ibunya selepas wanita itu menegurnya yang terlalu lama dalam bilik air.

Menurutnya, mangsa yang melihat kejadian itu cuba menegur adiknya membuatkan suspek bertambah berang dan bertindak agresif.

"Mangsa cuba menegur sikap adiknya tetapi suspek bertindak memukul abangnya itu menggunakan getah paip,

pisau dan sebatang besi.

"Mangsa mengalami kecederaan luka dan lebam di bahagian belakang badan, bahu kanan serta tangan kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 23 tahun mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

Katanya, polis merampas objek yang digunakan suspek untuk menyerang abangnya dalam kejadian itu.

"Suspek dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun

Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama empat hari sehingga 18 April.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 10:18 PM