Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof mengakui dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia berhubung dakwaan bahawa kementerian itu terlebih belanja untuk subsidi minyak masak tahun lalu.

Menurutnya, dia dipanggil SPRM tahun lalu dan hanya memberi keterangan berhubung proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

"Memang sudah dipanggil tahun lalu dan ia bukannya dipanggil untuk kes, sebaliknya hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

"Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu (terlebih belanja) ini dikeluarkan kembali. Sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia berkait dengan siasatan yang mana mungkin berlakunya ketirisan.

"Saya sememangnya sedia untuk memberikan kerjasama dengan sesiapa sekalipun termasuk kepada Bukit Aman.

"Saya menerima kerjasama yang baik daripada mereka dengan membantu saya menyelongkar banyak kes penyeludupan khususnya minyak masak dan diesel," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa dan Majlis Berbuka Puasa di Pasaraya TF Value Mart Tambun, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dua portal media tempatan berhubung dakwaan beliau berbelanja melebihi nilai RM9 juta bagi tambahan kuota subsidi minyak masak pada tahun lalu.

Kata Azman lagi, apa yang dilakukannya dengan meluluskan kuota tambahan minyak masak paket bersubsidi bagi tujuan operasi serta memastikan bekalannya mencukupi di pasaran, selaras dengan peraturan dan perundangan.

"Contohnya dalam undang-undang, ada kuasa-kuasa yang diberikan kepada pegawai pembekal iaitu KSU (Ketua Setiausaha) untuk membuat keputusan dan selalunya KSU akan mendapat pandangan terlebih dahulu daripada pegawai kanan, melalui jawatankuasa ataupun melalui kertas khas yang diangkat.

"Itu proses yang diberikan di bawah peruntukan undang-undang, jadi jadi tidak ada pun mana-mana keputusan dibuat dengan melanggar mana-mana peraturan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2023 @ 9:48 PM
AZMAN ketika sidang media ketika hadir sesi Walkabot Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 di Pasaraya TF Value Mart Tambun Ipoh. FOTO L. MANIMARAN
AZMAN ketika sidang media ketika hadir sesi Walkabot Skim Harga Maksimun Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 di Pasaraya TF Value Mart Tambun Ipoh. FOTO L. MANIMARAN