LUAS menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di Sungai Serdang, Kapar, lewat petang semalam. FOTO Ihsan LUAS
LUAS menerima maklumat daripada orang awam berhubung insiden permasalahan kualiti sumber air yang terjejas di Sungai Serdang, Kapar, lewat petang semalam. FOTO Ihsan LUAS
Oleh Norzamira Che Noh


Klang: Sisa batu arang dari stesen janakuasa elektrik dan aliran berwarna putih dari pembuangan sisa minyak sawit secara haram dikesan menjadi antara punca penurunan kualiti sumber air di Sungai Serdang, Kapar, dekat sini.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, penurunan kualiti air itu bagaimanapun tidak memberi kesan kepada bekalan air memandangkan tiada Loji Rawatan Air (LRA) berada di kawasan Sungai Serdang.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) terdahulu menerima maklumat awam berkenaan penurunan kualiti sumber air di sungai berkenaan.

"Siasatan segera yang dilakukan mendapati, insiden pertama disyaki berpunca dari sisa arang batu dari premis stesen janakuasa elektrik yang mengalir ke dalam parit kampung dan seterusnya masuk ke Sungai Serdang.

"Siasatan LUAS mendapati aliran sisa arang batu itu berpunca daripada kebocoran di premis stesen janakuasa berkenaan.

"Pemantauan LUAS di tapak mendapati kerja pembaikan dan pembersihan sisa arang dilakukan oleh pemilik stesen dengan kadar segera dan tiada lagi aliran tercemar yang dikesan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, LUAS kemudian meneruskan siasatan ke kawasan berhampiran dan menemukan aliran air berwarna putih memasuki Sungai Serdang.

Jelasnya, LUAS telah menjejaki punca aliran berwarna putih itu dan mendapati ia berpunca daripada pembuangan sisa minyak sawit yang dipercayai dibuang secara haram oleh individu yang tidak dikenalpasti menggunakan sebuah lori tangki.

"Pihak LUAS sudah melakukan pensampelan dan sampel-sampel kemudian dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut.

"Tindakan lanjut diselaraskan LUAS bersama Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang serta Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi semakan dan verifikasi yang berkaitan dengan status pemilik tanah serta pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam berkaitan sisa yang dibuang secara haram," katanya.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, kerajaan negeri dan LUAS menyeru orang ramai untuk memastikan segala aktiviti yang dilakukan tidak memberi kesan dan impak kepada sumber air yang menjejaskan operasi LRA serta bekalan air terutamanya pada musim perayaan yang bakal menjelang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2023 @ 3:52 PM