Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih. FOTO Bernama.
Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih. FOTO Bernama.
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi sekali lagi dihenti tugas sementara masing-masing pada jam 7 malam dan 12 tengah malam tadi.

Exco Pelancongan & Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian berkata henti tugas sementara antara empat ke enam jam itu bertujuan sebagai kawalan pencegahan susulan penemuan aliran pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Beliau berkata, siasatan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mendapati pencemaran bau berkenaan berpunca daripada lokasi kemalangan pati minyak wangi pada 24 Disember lalu.

"Penemuan kesan bau sehingga enam ton di lokasi berkenaan berikutan situasi hujan lebat petang semalam yang mana aliran sisa yang tersangkut dan terserap di persekitaran kawasan tumpahan tempoh hari serta jajaran sungai di luar kawasan Negeri Selangor terlarut bersama air hujan yang seterusnya mengalir masuk ke Sungai Semenyih.

"Susulan pengesanan awal pencemaran yang berulang oleh LUAS pada jam 6.30 petang semalam, tindakan pencegahan awal dan pantas agensi-agensi berkaitan negeri berjaya dilakukan dan impak kepada operasi loji dapat diminimakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga berjaya mencegah kemasukan aliran pencemaran ke dalam sistem loji yang mana kesemua 'weir gate' muka sauk sudah dibuka untuk mempercepatkan aliran tercemar melepasi kawasan muka sauk.

Katanya, langkah nyah bau ditingkatkan dengan penambahan 'Activated Carbon' (AC) oleh Luas dan Air Selangor sekitar 24 beg (anggaran 1 tan) keseluruhan.

"Dalam pada itu, kerja-kerja penyedutan sisa baki aliran yang tercemar di lokasi juga dilakukan.

"Penelitian Luas mendapati kesan tumpahan pati minyak wangi tempoh hari berkemungkinan sudah meresap ke dalam persekitaran lokasi dan akan terlarut semula dengan aliran air terutama selepas hujan.

"Kerajaan akan sentiasa memastikan Luas dan agensi-agensi terbabit akan terus memantau dengan rapi sepanjang aliran di lokasi pencemaran, Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya permasalahan sama berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 8:49 PM