LORI merempuh deretan kedai di Kilometer 16 Jalan Bentong menghala Raub, Bentong, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
LORI merempuh deretan kedai di Kilometer 16 Jalan Bentong menghala Raub, Bentong, hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


Bentong: Lelaki warga asing parah selepas tempat kerjanya dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 16 Jalan Bentong menghala Raub, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan itu berlaku jam 12.15 tengah hari membabitkan sebuah lori dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu dari kuari Bentong menghala ke Raub membawa muatan habuk batu sebelum tayar depan sebelah kiri kenderaan itu tiba-tiba meletup.

"Situasi itu menyebabkan pemandu lori terbabit gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar barisan kedai sebelum terseret kira-kira 30 meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zaiham berkata, kemalangan itu mengakibatkan pemandu lori cedera di bahagian badan serta tangan kiri retak dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

"Seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang bekerja di salah sebuah kedai parah di bahagian tangan dan kaki kiri yang hancur.

"Selain itu, mangsa juga mengalami pendarahan di bahagian kepala dan hati pecah pada mulanya menerima rawatan di Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa memandu kenderaan dengan berhati-hati dan berhemah.

"Pastikan kenderaan yang dipandu diselenggara dengan baik dan selamat ketika berada di jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 11:09 PM