KHAIRUDDIN Othman. FOTO NSTP.
KHAIRUDDIN Othman. FOTO NSTP.
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Tiada perbincangan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk 'mengorbankan' mana-mana kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata, pendirian PH Selangor sangat jelas seperti mana yang diputuskan PH Pusat, semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dalam menghadapi PRN di enam negeri kelak.

Katanya, kerjasama PH dan BN ini sudah pasti akan membuahkan hasil yang lebih baik dengan menang lebih banyak kerusi.

"Tidak ada perbincangan berkaitan dengan "korban kerusi" di Selangor. Pendirian PH Selangor adalah sebagaimana kenyataan Ketua Setiausaha PH Nasional, iaitu 'status quo' bagi semua kerusi yang dimenangi oleh PH.

"Jika kita tidak boleh menang banyak...jadi kenapa perlu adanya kerjasama," katanya kepada BH.

Beliau mengulas laporan yang menyatakan PH mungkin akan menyerahkan sekurang-kurangnya lima kerusi "selamat" kepada BN dalam langkah strategik bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

DAP dan PKR dikatakan melakukannya untuk memastikan Selangor tidak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN)

Malah, nama Bendahari BN Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, salah seorang daripada beberapa calon gabungan itu yang mungkin bertanding di kerusi selamat, yang dijangka "dikorbankan" oleh DAP dan PKR pada PRN akan datang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu, yang tewas di Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kepada calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, dijangka diberi kerusi bandar majoriti Melayu yang agak selamat.

Antara kerusi yang disebut mahu dikorbankan adalah Sungai Pelek, Kota Kemuning, Dusun Tua, dan Dengkil.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada PRU-14 dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri kelak.

Katanya, perbincangan pusingan pertama antara PH dan BN bersetuju membabitkan beberapa parameter yang akan memandu ke arah pengagihan kerusi pilihan raya, antaranya kerusi penyandang kekal untuk parti yang menang pada PRU-14.

Mengulas lanjut, katanya Mohd Khairuddin yang juga Setiausaha PKR Selangor berkata, beliau percaya undi orang Melayu di Selangor lebih bersifat realistik dan yakin keputusan pilihan raya itu nanti akan memihak kepada PH.

Katanya, PH Selangor juga yakin pengundi muda melalui Undi18 di Selangor akan terus bersama dengan PH.

Berdasarkan keputusan PRU-14, PH memenangi 40 daripada 55 kerusi di Dun Selangor yang mana PKR memenangi 19 kerusi, DAP (15), dan Amanah (enam) manakala BN memenangi lima kerusi dan PN lima kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 2:12 PM