KEADAAN kereta yang terbabas ke dalam anak sungai. FOTO ihsan bomba
KEADAAN kereta yang terbabas ke dalam anak sungai. FOTO ihsan bomba
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Dua lelaki maut selepas Proton Wira dinaiki melanggar papan tanda dan terjunam ke anak sungai di Kilometer (KM) 6, Jalan Parit Botak, Ayer Hitam, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian 6.30 pagi itu, pemandu berusia 21 tahun dan penumpang berusia 22 tahun yang dalam perjalanan dari Parit Tengah Parit Raja menghala ke arah Ayer Hitam maut dalam kemalangan terbabit.

"Siasatan awal mendapati Proton Wira yang dipandu hilang kawalan serta terbabas ke kanan jalan dan melanggar papan tanda lalu terjunam ke dalam Sungai Parit Kuari.

"Pemandu dan penumpang warga tempatan meninggal dunia di tempat kejadian. Mangsa yang tersepit dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Sekiranya ada saksi awam yang melihat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Salmiah Mohamed di talian 074327704," katanya.

Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Shamin Mohamed Salikin berkata, pasukan keluaran operasi (PKO) mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas.

"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan.

"Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada 8.53 pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 1:38 PM