Tinjauan harga ayam di pasar Chow Kit pada waktu pagi. FOTO GENES GULITAH
Tinjauan harga ayam di pasar Chow Kit pada waktu pagi. FOTO GENES GULITAH
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Pengguna mengeluh apabila peniaga ayam mengenakan caj pemotongan serta mempersoalkan kewajarannya ketika bekalan bahan makanan itu didakwa tidak berdepan masalah.

Tinjauan Harian Metro di pasar basah sekitar ibu kota menunjukkan rata-rata peniaga ayam meletakkan caj pemotongan antara 60 sen sehingga RM1.10.

Pengunjung Pasar Chow Kit, Nor Hafiza Sahirra Norani, 38, berkata peniaga tidak sepatutnya meletakkan caj tersebut.

"Saya sendiri tidak perasan ada caj pemotongan waktu saya beli ayam. Memang betul harga di pasar basah tidak semahal pasar tani tapi kadang-kadang pengguna terkeliru dengan tanda harga itu," katanya.

Menurut Nor Hafiza, bagi segelintir pelanggan caj pemotongan itu mungkin membebankan terutama golongan pendapatan rendah yang turut terkesan dengan kenaikan harga pelbagai barang kebelakangan ini.

"Pihak berkuasa wajar lebih kerap memantau termasuk tanda harga yang kadang-kadang agak mengelirukan," katanya.

Pengunjung Pasar Datuk Keramat, Ahmad Joni Basir, 36, turut meluahkan rasa tidak puas hati berkenaan caj tersebut.

"Saya rasa caj yang dikenakan peniaga ini seperti ambil kesempatan atas kenaikan harga ayam.

"Kalau peniaga beri alasan harga naik disebabkan stok ayam tiada, itu bohong kerana stok ayam masih ada walaupun sedikit," katanya.

Kata Ahmad lagi, harga ayam yang sentiasa naik menyebabkan pelanggan terpaksa membuat pilihan lain atau mengurangkan penggunaan bahan makanan itu.

"Sekarang kuasa beli sudah kurang, kalau dulu orang beli minimum lima ekor ayam tapi sekarang berkurang kepada tiga ekor," katanya.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan harga syiling ayam RM9.40 sekilogram dan dalam pada masa yang sama terdapat peniaga yang mengenakan caj pemotongan untuk setiap ekor ayam.

Sementara itu, peniaga ayam segar, Mohd Afiff Isa, 36, berkata caj pemotong yang dikenakan disebabkan peniaga membeli ayam dari pembekal dengan harga yang agak tinggi.

"Peniaga seperti kami tiada tempat penyimpanan yang besar jadi kami terpaksa mengambil bekalan ayam setiap hari.

"Berbeza dengan pasar raya, mereka mengambil stok yang banyak ketika ayam murah jadi mereka boleh menjualnya mengikut harga yang digazetkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:43 PM