BERNAMA

Dungun: Bekas ibu mentua kepada Allahyarham Rubiah Sabtu yang dipercayai dibunuh suaminya semalam, akan menunaikan amanat arwah untuk menjaga cucu-cucunya.

Wan Zaini Wan Abdullah, 60, berkata, walaupun arwah dan anak lelakinya, Mohd Radzi Aziz, 38, sudah berpisah empat tahun lalu, hubungan antara mereka sangat baik dan selalu berhubung untuk bertanya khabar.

Malah katanya, setiap kali menelefon, arwah selalu berpesan supaya dia mengambil dan menjaga anak-anaknya sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap dirinya.

"Arwah mempunyai enam anak hasil perkahwinan selama 15 tahun dengan anak lelaki saya dan seorang bayi perempuan dengan suami baharu.

"Anak sulung arwah berusia 18 tahun dan yang paling kecil baru berusia tiga bulan," katanya ketika ditemui selepas majlis pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Bukit Besi dekat sini, hari ini.

Wan Zaini berkata, dua anak arwah sudah berada dalam jagaannya sebelum ini manakala empat lagi tinggal bersama arwah ibunya.

"Selepas ini mak cik akan bawa dua lagi anak arwah tinggal bersama kami di Tangga Batu, Melaka. Dua lagi buat sementara ini akan tinggal dengan bapa mereka sehingga keadaan kembali reda," katanya.

Sementara itu, anak kedua arwah, Muhammad Danish Hakim Mohd Radzi, 15, berkata, dia reda dengan pemergian ibunya walaupun kematiannya secara tiba-tiba.

Katanya, kejadian itu memang tidak dijangka kerana hubungan antara arwah ibu dengan bapa tirinya sebelum ini baik-baik sahaja.

"Kali terakhir saya jumpa ibu pagi semalam sebelum pergi sekolah dan saya bersalam seperti biasa. Tetapi tengah hari semalam ayah datang ke sekolah dengan tergesa-gesa dan beritahu ibu sudah tiada," katanya.

Rubiah, 41, meninggal dunia dipercayai akibat dipukul dengan tukul besi oleh suaminya di kediaman mereka di Kampung Besol, Bukit Besi kira-kira 8 pagi semalam, selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.

Berita berkaitan

  • Suami guna tukul besi bunuh isteri [METROTV]
  • Air muka kakak nampak sedih [METROTV]
  • Enam kesan hentakan pada muka, telinga Rubiah
  • Anak sulung tak percaya bapa tiri bunuh ibu [METROTV]
  • Disyaki bunuh isteri dengan tukul besi, suami direman 7 hari [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 3:08 PM