ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) merampas makanan yang dijual di sebuah premis di Jalan Masjid Lundang, Telipot, Kota Bharu yang berniaga sebelum jam 3 petang. - FOTO Zaman Huri Isa
ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) merampas makanan yang dijual di sebuah premis di Jalan Masjid Lundang, Telipot, Kota Bharu yang berniaga sebelum jam 3 petang. - FOTO Zaman Huri Isa
Syaherah Mustafa


SEORANG lelaki berusia 50-an lari meninggalkan bungkusan nasi dan air teh yang masih panas selepas diserbu dalam Ops Tidak Sopan di sebuah gerai di Jalan Zainal Abidin di Kota Bharu, hari ini.

Dalam serbuan jam 12.30 tengah hari, lelaki berkenaan melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, pihaknya turut merampas sekotak rokok dan telefon Samsung ditinggalkan lelaki terbabit.

Menurutnya, pihaknya percaya lelaki itu baru selesai menjamu selera berdasarkan bungkusan nasi belum dibuang selain air teh yang masih panas.

“Serbuan dilakukan hasil aduan orang ramai selepas gerai diusahakan warga emas berbangsa Cina itu dilihat sering kali didatangi lelaki Islam dalam keadaan mencurigakan.

“Kami juga menerima laporan gerai ini turut menjalankan aktiviti perjudian dan khidmat mengurut. Saya sempat memberi nasihat kepada pemilik untuk segera menghentikan aktiviti itu,” katanya pada sidang media selepas operasi itu.

Operasi turut membabitkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, setakat ini, sebanyak 18 kes jenayah syariah berjaya ditangani pihak berkuasa membabitkan khalwat, makan pada siang hari Ramadan, berpakaian tidak sopan dan perbuatan tidak sopan.

Dalam operasi itu, MPKB-BRI turut merampas makanan dijual di sebuah premis di Jalan Masjid Lundang, Telipot yang berniaga sebelum waktu dibenarkan iaitu jam 1.10 tengah hari.

Mohd Fadzuli berkata, peniaga disyaratkan memulakan operasi perniagaan pada jam 3 petang seperti ditetapkan pihak berkuasa.

“Rampasan ini hasil tinjauan pihak berkuasa termasuk maklumat orang ramai yang sama-sama membantu membanteras perkara tidak diingini sepanjang Ramadan.

“Peniaga dikenakan tindakan mengikut Seksyen 107(2), Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana melanggar syarat lesen MPKB-BRI,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 3:49 PM