Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
Essa Abu Yamin


Putrajaya: Malaysia berjaya membawa masuk RM32.5 bilion nilai pelaburan membabitkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, baru-baru ini.

Menterinya Chang Lih Kang berkata, jumlah pelaburan berkenaan membabitkan dua syarikat daripada China menerusi syarikat automotif Geely bagi kenderaan elektrik (EV) dan sebuah syarikat teknologi DC-Sciences Co Ltd (DCS) membabitkan pusat data.

"Pelaburan Geely akan mencecah RM30 bilion dalam EV dan Malaysia juga banyak mempromosikan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim.

"Geely adalah pelabur yang paling besar setakat ini dan satu lagi adalah DC-Sciences yang merupakan sebuah pusat data yang akan berada di Sedenak, Johor nanti.

"Pusat data berkenaan akan memberikan nilai pelaburan sebanyak RM2.5 bilion kepada Malaysia," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Mosti, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selain Geely, dua lagi syarikat pengeluar EV akan datang melawat ke Malaysia pada Sabtu ini bagi menerokai peluang pelaburan.

"Dua syarikat berkenaan tidak termasuk dalam pelaburan berjumlah RM170 bilion itu.

"Syarikat terbabit adalah China Harmony Auto Holding Limited dan GAC Aion New Energy Automobile Limited dan setakat ini tiada nilai pelaburan kerana kedua-dua syarikat itu datang bagi meneroka peluang perniagaan," katanya.

Menurutnya, China turut berminat untuk melabur dalam bidang teknologi angkasa selain berbincang mengenai tenaga yang diperbaharui dan kenderaan yang menggunakan tenaga berkenaan.

"Selain EV, kita juga melibatkan kepada pelaburan dalam hidrogen," katanya.

Terdahulu, Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China susulan lawatan Perdana Menteri ke China.

Ia hasil daripada 19 memorandum persefahaman yang dimeterai antara syarikat Malaysia dan China.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 12:53 PM