BARISAN Ahli Majlis dan pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang turun padang menemui penduduk bagi mendapatkan maklumat mengenai insiden kematian 29 ekor anjing di kawasan Island Glades akibat diracun. FOTO Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang
BARISAN Ahli Majlis dan pegawai Majlis Bandaraya Pulau Pinang turun padang menemui penduduk bagi mendapatkan maklumat mengenai insiden kematian 29 ekor anjing di kawasan Island Glades akibat diracun. FOTO Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua puluh sembilan anjing mati di kawasan perumahan Island Glades di sini, baru-baru ini, dipercayai termakan makanan yang dicampur racun.

Menurut Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pihaknya memandang serius serta akan mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan kejam itu.

Katanya, susulan itu, ahli Majlis MBPP serta pegawainya sudah turun padang dengan menemui penduduk sekitar, semalam, bagi mendapat gambaran sebenar kejadian.

"Bagi membantu siasatan, MBPP akan beri khidmat sokongan serta kerjasama penuh mengesan dan menyalurkan maklumat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang sehingga si pelaku berjaya didakwa berpandukan undang-undang.

"Sebagai langkah pencegahan, MBPP sudah kenal pasti beberapa lokasi strategik bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV)," katanya menerusi hantaran di Facebook, di sini, semalam.

Jika disabit kesalahan, individu itu boleh mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015. Antaranya, mengikut Seksyen 29 bagi penganiayaan haiwan, Seksyen 30 (pembunuhan haiwan) dan Seksyen 31 (pemberian racun).

Individu terbabit boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 dan penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu lagi, Pengurus International Aid for the Protection and Welfare of Animals (IAPWA) Pulau Pinang Choong Koon Yean juga turut mengumumkan tawaran ganjaran sebanyak RM5,000 kepada mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat tepat berhubung insiden itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:01 AM