Beberapa ekor anjing dilihat dibawa masuk oleh pemilik ketika tinjauan di Taman Gurney Bay, Georgetown. FOTO Nur Izzati Mohamad
Beberapa ekor anjing dilihat dibawa masuk oleh pemilik ketika tinjauan di Taman Gurney Bay, Georgetown. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Ketiadaan papan tanda larangan membawa haiwan peliharaan menyebabkan segelintir pemilik bersikap tidak peduli ketika mengunjungi persiaran Taman Gurney Bay, di sini.

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati kira-kira enam ekor anjing dibawa masuk ke taman rekreasi itu oleh pemilik tanpa rasa bersalah terhadap pengunjung lain khususnya yang beragama Islam.

Semakan yang dibuat mendapati tidak menemui sebarang papan tanda larangan membawa masuk haiwan peliharaan di fasa pertama taman rekreasi berkeluasan 11.2 hektar yang dibuka sejak 4 Februari lalu.

Sebaliknya, wartawan hanya melihat papan tanda larangan membuang sampah, merosakkan tanaman, merokok, menjaja dan melakukan kegiatan vandalisme.

Pengunjung, Hajrah Kamaruddin, 40-an, berkata suaminya membuat aduan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas mendapati anjing dibawa masuk ke taman rekreasi itu.

Menurutnya, pihaknya berasa kecewa kerana mendapati tiada penyelesaian dan individu terbabit seolah-olah tidak menjaga sensitiviti pengunjung lain.

"Walaupun taman rekreasi ini baru dibuka, peraturan ini (haiwan dilarang masuk) sudah menjadi satu kelaziman di semua tempat awam di negara ini.

"Keadaan ini amat mengejutkan sedangkan larangan haiwan masuk ini bukan hanya tertakluk kepada anjing semata-mata, tetapi apa-apa sahaja haiwan peliharaan termasuk kucing," katanya ketika ditemui, di sini.

Pengunjung lain yang mahu dikenali sebagai Afiqa Irdina, 20-an, berkata bapanya ada memberi teguran apabila melihat pemilik anjing membawa haiwan itu masuk ke taman berkenaan.

Menurutnya, mereka sebaliknya memberi alasan bahawa tiada papan tanda larangan yang akhirnya membolehkan mereka berbuat demikian.

"PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu bertindak supaya keadaan dapat dikawal daripada awal menerusi rondaan berkala dan memberikan amaran seterusnya mengeluarkan notis saman kepada mereka yang ingkar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jason H'ng Mooi Lye berkata, MBPP akan memasang papan tanda larangan pada minggu ini.

"Ada kawasan yang dibenarkan (kemasukan haiwan peliharaan dan ada yang dilarang masuk).

"Papan tanda yang mana dibenarkan dan mana kawasan larangan akan dipasang. Ia adalah tanggungjawab pemilik haiwan (untuk mengawal haiwan milik mereka di tempat awam)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2024 @ 3:39 PM