Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis Terengganu menjangkakan lebih ramai mangsa penipuan umrah akan tampil membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua mereka ini dijadualkan berlepas ke Tanah Suci bagi menyambut Ramadan sebelum ia ditunda.

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi mangsa penipuan tidak membuat laporan polis lagi kerana dijanjikan akan menerima kembali wang mereka.

"Kita jangka akan ada lagi mangsa yang akan membuat laporan polis.

"Namun mereka ini belum tampil membuat laporan polis kerana dijanjikan akan menerima kembali wang mereka dalam tempoh terdekat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

ROHAIMI pada sidang media berhubung kes mangsa penipuan syarikat pengendali pakej umrah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu. FOTO Ghazali Kori.
ROHAIMI pada sidang media berhubung kes mangsa penipuan syarikat pengendali pakej umrah di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu. FOTO Ghazali Kori.

Rohaimi berkata, pihaknya menerima tujuh laporan berkaitan penipuan pakej umrah dalam tempoh dua tahun membabitkan kerugian lebih RM300,000.

Beliau berkata, ia membabitkan dua laporan tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM120,000 manakala lima lagi laporan diterima tahun ini termasuk laporan polis yang dibuat seorang penjawat awam hari ini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terhadap syarikat-syarikat yang menawarkan pelbagai pakej umrah yang menarik supaya tidak menjadi mangsa penipuan.

"Jadi pergilah kepada agensi-agensi atau syarikat-syarikat besar yang dikenali kerana kita tahu ini adalah perjalanan ibadah.

"Apabila berlaku kes seperti ini, ia bukan saja membabitkan kerugian wang ringgit tetapi lebih kepada emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 3:42 PM