LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis sudah membuka kertas siasatan khianat dan ugutan susulan kereta milik pengarah dan penulis skrip filem kontroversi Mentega Terbang dirosakkan dengan simbahan cat dan bahan asid serta ditinggalkan nota ugutan bunuh, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kejadian itu berlaku di dua kawasan iaitu Kajang dan Ampang Jaya membabitkan kes simbah cat kereta dan meninggalkan nota ugutan.

Menurutnya, mangsa yang membuat laporan polis itu terbabit dalam pembikinan filem Mentega Terbang.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan kereta milik pengarah dan penulis skrip filem kontroversi Mentega Terbang dirosakkan dengan simbahan cat dan bahan asid serta ditinggalkan nota ugutan bunuh, hari ini.

Menerusi perkongsian gambar di Twitter @amerhadiazmi, kelihatan kereta jenis Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih dipenuhi kesan simbahan asid, cat berwarna merah dan hitam.

"Cat serta asid disimbah ke kereta pengarah dan pelakon Mentega Terbang oleh individu tidak dikenali. Turut ditinggalkan nota ugutan bunuh terhadap mereka dan keluarga.

"Nota ugutan bunuh turut disertakan yang bertulis 'Lu dengan family mesti mati' dan nota amaran 'Mentega Terbang jangan cabar agama Islam'. katanya dalam ciapan di Twitter itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 6:18 PM