BERNAMA

Marang: Majoriti lulusan jurusan pengajian Islam memilih untuk menjadi pendakwah atau guru agama, namun Zulkifli Harun 'lari jauh' daripada bidang tersebut dan memilih untuk bergelar usahawan kopi.

Sangat menggemari bidang perniagaan dan keusahawanan mendorong lelaki berusia 41 tahun itu menongkah arus dan katanya, dia tidak kisah terjun dalam bidang yang berisiko.

"Ketika mula-mula berniaga, saya dihina dicaci malah diherdik segelintir pemilik premis kedai yang ingin saya tumpang untuk menjual produk saya.

"Semua cabaran tersebut dijadikan azimat serta dorongan untuk saya membina empayar perniagaan sendiri," katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di sini, baru-baru ini.

Pemegang Diploma Pengajian Islam Usuluddin daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, minat berniaga sebenarnya diwarisi daripada arwah bapanya, Harun Mansor yang dahulunya berniaga kedai makan di Kampung Losong di Kuala Terengganu.

"Ketika di sekolah rendah lagi saya dah biasa tolong ayah berniaga kedai makan. Minat itu saya teruskan pula ketika belajar di UniSZA, saya jual pelbagai jenis barangan kepada rakan-rakan,"

Mengimbas detik awal berniaga, Mohd Zulkifli yang juga Pengarah Urusan GLE Centre Sdn Bhd berkata, dia memulakan perniagaan kopi pada 2008, selepas menamatkan pelajaran di UniSZA dengan menggunakan wang pinjaman sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

Pada masa itu katanya, cabaran agak getir kerana terpaksa membahagikan masa antara perniagaan dengan tugasnya sebagai guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Yayasan Terengganu.

"Penat dan lelah usah cerita kerana semua kerja bermula daripada pengeluaran sehingga pemasaran saya lakukan sendiri dengan bantuan hanya dua orang pekerja.

"Pagi-pagi saya akan berada di kilang untuk menguruskan pengeluaran manakala sebelah petang mengajar KAFA. Selesai mengajar, saya akan bergerak ke kedai-kedai dalam kampung untuk menjual kopi, sehingga 3 pagi barulah boleh balik rumah berehat," katanya.

Bagaimanapun, pengorbanannya membuahkan hasil apabila kopi jualannya diterima baik pengguna dan kini Mohd Zulkifli mengeluarkan 17 jenis produk termasuk susu kambing, minuman koko dan kopi premium Cappuccino.

Mohd Zulkifli berkata setiap bulan syarikatnya mengeluarkan 20,000 hingga 25,000 kotak kopi dan minuman lain yang boleh didapati di rangkaian kedai runcit dan pasar raya terpilih di seluruh negara.

"Alhamdulillah saya kini mempunyai 18 pekerja terdiri daripada anak tempatan. Nilai jualan kami juga sudah mencapai RM2.3 juta pada tahun lalu.

"Untuk tahun ini saya jangka jualan meningkat kepada RM3.5 juta kerana syarikat telah memperkenalkan sistem baharu untuk ejen dan dropship menjana lebih pendapatan," katanya yang turut menaja pasukan bola sepak Terengganu, Terengganu FC (TFC) dan skuad hoki, Terengganu Hockey Team (THT).

Mohd Zulkifli berkata perancangan masa hadapan beliau ialah untuk menembusi pasaran di Makasar dan Padang, Indonesia pada tahun depan.

"Kita pernah menghantar produk kopi dan susu kambing ke sana dan alhamdulillah mendapat sambutan hangat.

"Tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita terpaksa hentikan seketika dan insya-Allah tahun hadapan mungkin akan mula balik selepas selesai menguruskan pelbagai dokumen berkaitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 12:00 PM
PEKERJA kilang milik Zulkifli melakukan kerja-kerja pemprosesan produk minuman ketika ditemui, baru-baru ini. FOTO Bernama.
PEKERJA kilang milik Zulkifli melakukan kerja-kerja pemprosesan produk minuman ketika ditemui, baru-baru ini. FOTO Bernama.