Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Enam lelaki cedera dalam kemalangan sembilan kenderaan di susur masuk Plaza Tol Simpang Pulai, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata, nahas pada 2.34 petang itu membabitkan masing-masing tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) dan lori tiga tan, sebuah treler dan dua lori dua tan.

"Semua mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dengan dibantu oleh BBP Gopeng digerakkan ke lokasi bagi operasi menyelamat yang berakhir jam 4.10 petang.

"Bomba yang tiba di tempat kejadian melakukan kerja menyelamat menggunakan peralatan khas," katanya.

Difahamkan insiden menyebabkan sebahagian daripada fasiliti di susur keluar plaza tol terbabit termasuk palang penghadang turut ranap.

Turut difahamkan, kejadian berlaku apabila salah sebuah lori merempuh belakang lori yang lain dan seterusnya menyebabkan ia menggelungsur ke hadapan serta melanggar tujuh kenderaan lain.

Menerusi ciapan di laman Twiter @plustrafik, insiden turut menyebabkan kesesakan sebelum dan serta selepas susur keluar plaza tol itu.

NAHAS sembilan kenderaan di susur masuk Plaza Tol Simpang Pulai. FOTO Ihsan JBPM Perak
NAHAS sembilan kenderaan di susur masuk Plaza Tol Simpang Pulai. FOTO Ihsan JBPM Perak

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2023 @ 9:20 PM