Sebahagian wakil media menuggu di luar pagar kompleks mahkamah bagi mengikuti kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Sebahagian wakil media menuggu di luar pagar kompleks mahkamah bagi mengikuti kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1)b Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 di Mahkamah Shah Alam. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amir Abd Hamid


Shah Alam: "Jam 8 pagi baru boleh masuk." Itu kata pengawal keselamatan yang mengawal luar pintu masuk bangunan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, kepada pengamal media membuat liputan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram, hari ini.

Seawal 7 pagi, lebih 30 pengamal media sudah memenuhi laluan masuk utama kompleks mahkamah itu untuk memastikan tidak terlepas membuat liputan kes berkenaan.

Muhyiddin sekali lagi akan dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA).

Pertuduhan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu adalah berikutan siasatan berkait kes Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001, jika sabit kesalahan, individu boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan meliputi empat menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua lagi pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas perdana menteri kedua didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin turut terkenal dengan panggilan 'Abah' .

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2023 @ 8:49 AM