AKMAL Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Forum Perbandaraan Hijau 2023 (Green Urban Forum 2023) sempena Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan di Ipoh. FOTO L Manimaran
AKMAL Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Forum Perbandaraan Hijau 2023 (Green Urban Forum 2023) sempena Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan di Ipoh. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Penetapan mengadakan Bazar Ramadan berkonsepkan Rahmah atau Bazar Ramadan Rahmah di sesuatu lokasi adalah menerusi perbincangan antara kementerian terbabit bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bertindak sebagai pelaksana.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pihaknya sentiasa menyambut baik hasrat penganjuran Bazar Ramadan Rahmah itu pada bulan Ramadan selain diperluaskan juga ke negeri yang mempunyai kawasan luar bandar yang luas khususnya.

Beliau, berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan khusus antara KPKT dengan Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengenai perkara itu, sekali gus berharap perbincangan dapat dilakukan dalam waktu terdekat.

Katanya, KPKT sebagai kementerian yang menyelia hal berkaitan pihak berkuasa tempatan (PBT) kebiasaannya menyambut baik sebarang dasar yang diputuskan di peringkat persekutuan meliputi dasar di pelbagai kementerian bagi diterapkan kepada PBT apatah lagi jika ia dapat memanfaatkan rakyat di segenap lapisan.

"Setakat ini belum ada perbincangan secara khusus tapi selalunya ia memang akan babitkan juga PBT yang menyelia mengenai permit kelulusan bazar atau pasar malam, selain sebagai pelaksana di peringkat paling bawah selepas kerajaan persekutuan dan negeri.

"Kalau dilihat, PBT bukan saja melaksanakan inisiatif di bawah KPKT saja, sebaliknya apa juga dasar yang dibuat meliputi pelbagai kementerian termasuk hal berkaitan ekonomi, alam sekitar, bahkan pertanian juga akhirnya akan diserahkan kepada PBT selaku di peringkat pelaksana," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Perbandaran Hijau (Green Urban Forum) 2023 di Hotel Kinta Riverfront, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Persekitaran Mampan KPKT, Datuk Saidatu Akhmar Hassan.

Pada 1 Mac lalu, media melaporkan KPDN sedang mengenal pasti lokasi sesuai dan berpotensi di seluruh negara untuk dijadikan Bazar Ramadan Rahmah dengan pada ketika ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) antara yang terawal menawarkan tapak penganjuran Bazar Ramadan Rahmah.

Dalam perkembangan lain, Akmal Nasrullah berkata pihaknya tidak melihat keseriusan melalui gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua PBT memberi tumpuan kepada perancangan bandar yang seimbang supaya tidak lagi meminggirkan rakyat, hanya dilihat berdasarkan kepada peruntukkan yang disalurkan kepada sesebuah kementerian semata-mata.

Katanya, tiada keperluan untuk peruntukan tambahan disalurkan kepada PBT di kawasan luar bandar, sebaliknya pembangunan di kawasan PBT luar bandar harus dilihat secara holistik lagi menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 2:29 PM