Mohamad Nazeri menunjukkan gambar Muhamad Airiel ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengabang Panjang. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Mohamad Nazeri menunjukkan gambar Muhamad Airiel ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengabang Panjang. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK
Faizul Azlan Razak

Setiu: "Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik, namun sehari sebelum kejadian dia ada menghantar pesanan menerusi WhatsApp kepada beberapa orang kawannya dan meminta maaf.

"Sepatutnya semalam adalah hari terakhir arwah bekerja selepas mendapat kerja baharu yang bermula Ahad ini," kata Mohamad Nazeri Abdul Razak, 42, bapa kepada Muhamad Airiel Rizman, 18, yang maut selepas sebiji tayar treler tercabut dan terpelanting di Kilometer (KM) 43 Kampung Merang di sini, petang semalam.

Menceritakan kejadian itu, bapa kepada empat anak itu berkata, dia sedang bekerja sebagai pemandu lori di tapak pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Sungai Tong di sini.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakannya memaklumkan anak terbabit dengan kemalangan itu.

"Ketika itu, saya hanya dimaklumkan anak sulungnya terbabit kemalangan dan tidak diberitahu sudah meninggal dunia.

"Saya bergegas pulang dan sebaik tiba di tempat kejadian luluh hati apabila mendapati anak terbaring kaku dan sudah ditutupi dengan kain," katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Mengabang Panjang di sini, hari ini.

Mohamad Nazeri berkata, sebelum ini anaknya bekerja sebagai pengutip buah sawit dan baru dua bulan bekerja sebagai penjual air di Kampung Merang itu.

Menurutnya, Allahyarham Muhamad Airiel Rizman bukan saja seorang anak yang baik, malah dia juga banyak membantu meringankan beban keluarga.

Katanya, Allahyarham utamakan keluarga apabila akan memberi wang kepadanya dan ibunya, Norhayati Hamzah, 42, walaupun tidak banyak selain belanja adik-adiknya.

"Walaupun sedih dengan pemergian arwah, saya dan keluarga reda dengan apa yang berlaku.

"Saya juga tidak memikirkan lagi sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemandu atau syarikat lori berkenaan" katanya.

Mohamad Nazeri berkata, anaknya juga selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Mengabang Panjang di sini, pada 10 pagi hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang peniaga air buah maut, manakala rakannya patah tangan selepas tayar treler tercabut dan terpelanting ke arah gerai mereka berniaga.

Dalam kejadian pada 5.05 petang itu, Muhamad Airiel meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di dada, manakala rakanya, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, patah tangan kanan, luka di muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:57 PM