HAIWAN ternakan seperti lembu berkeliaran di Jalan Dengkil-Kajang sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
HAIWAN ternakan seperti lembu berkeliaran di Jalan Dengkil-Kajang sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Dengkil: Umpama 'safari dalam kampung.' Itu yang boleh digambarkan keadaan di sekitar Jalan Dengkil-Kajang berhampiran Kampung Jenderam Hilir di sini, apabila lembu banyak berkeliaran di kawasan berkenaan sehingga mengundang bahaya.

Haiwan itu dilepaskan bebas tanpa mengira waktu dan lebih teruk pada waktu malam, sekali gus menggugat keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar.

Difahamkan haiwan berkenaan mempunyai pemilik, tetapi dibiarkan berkeliaran.

Seorang penduduk, Hazwan Mohd Rashid, 55, berkata, kebanyakan daripada mereka sudah tidak tahan dengan kehadiran lembu berkenaan kerana ia sering mengundang kemalangan.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada kemalangan berlaku. Baru-baru ini tiga kereta terbabit kemalangan.

"Lembu ini kebiasaannya berkeliaran pada waktu malam, kalau siang kita boleh nampak dengan lebih jelas.

"Namun, pada waktu malam keadaan sekitar jalan ini gelap kerana ketiadaan lampu jalan, sekali gus menyebabkan sering berlaku kemalangan," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini.

KEMALANGAN membabitkan haiwan ternakan di Jalan Dengkil- Kajang.
KEMALANGAN membabitkan haiwan ternakan di Jalan Dengkil- Kajang.

Beliau mendakwa masalah itu sudah berlaku lama berlaku, tetapi sebelum ini terkawal berbanding tahun ini yang lebih kerap.

Hazwan berkata, apabila kemalangan, pemilik lembu tidak akan mengaku haiwan itu kepunyaan mereka.

Seorang lagi penduduk Nabil Sabri Selamat, 34, berkata, haiwan itu turut merosakkan tanaman dan pokok bunga milik keluarganya.

"Lembu ini pernah masuk halaman rumah emak saya dan makan bunga yang ditanam selain najisnya juga merata-rata.

"Sebenarnya isu ini sudah berlaku puluhan tahun, namun lebih kerap sejak hujung tahun lalu dan awal tahun ini," katanya.

Sementara itu, peniaga, Noorhalima Anjam, 37, menggesa agar pihak berkuasa menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

Katanya, dia turut mencadangkan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memasang lampu jalan bagi mengelakkan kemalangan di kawasan berkenaan pada masa depan.

"Kemalangan akibat melanggar lembu sering berlaku kerana keadaan jalan gelap dan ketiadaan lampu.

"Kami orang kampung di sini juga sudah banyak buat aduan (meminta lampu jalan), tetapi belum ada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa," dakwanya.

Katanya, MPSepang juga perlu memasang papan tanda amaran bagi memaklumkan kawasan itu adalah laluan lembu berkeliaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 7:36 AM