Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerajaan negeri memerlukan seramai 2,000 sukarelawan pada pasca banjir bagi membantu membersihkan kediaman dan juga fasiliti awam yang terjejas di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, ketika ini terdapat 255 sukarelawan Southern Volunteer (SV) di daerah terjejas yang membantu pasukan keselamatan dan agensi berkaitan melancarkan urusan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) negeri ini.

Katanya keadaan sekarang masih belum begitu stabil, namun bila tiba masa pasca banjir akan kerahkan SV, badan bukan kerajaan (NGO) tempatan di seluruh daerah membantu penempatan terkesan akibat banjir.

"Kalau kita melihat semula, kita perlukan sehingga 2,000 sukarelawan untuk misi pasca banjir untuk digerakkan seluruh negeri Johor.

"Sebanyak 1,050 kotak SV diagihkan di Segamat, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru, Muar dan Tangkak.

"Manakala lagi 600 kota SV akan diagihkan ke tiga lagi daerah iaitu Pontian, Kulai dan Mersing dalam masa terdekat," katanya selepas melawat PPS di Dewan Raya Sungai Tiram yang menempatkan 114 orang yang terdiri daripada 41 keluarga di sini, hari ini.

Mohd Hairi berkata, difahamkan keperluan mendesak ialah toto, tilam, selimut, kit kesihatan dan makanan ringan tidak mencukupi di kebanyakan PPS.

Oleh itu beliau memohon dan menyeru inisiatif sumbangan orang ramai, persatuan dan NGO untuk membantu menyalurkan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 5:44 PM