Azura dan suami, Mohd Amli membawa bot sendiri untuk membantu memindahkan mangsa banjir di Segamat. FOTO IHSAN AZURA MANAS.
Azura dan suami, Mohd Amli membawa bot sendiri untuk membantu memindahkan mangsa banjir di Segamat. FOTO IHSAN AZURA MANAS.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perjalanan dari Tanjung Tualang, Perak ke Segamat, Johor, sejauh hampir 400 kilometer (km) yang mengambil masa lebih enam jam tidak melunturkan semangat suami isteri ini membantu mangsa banjir di negeri itu.

Azura Manas, 39, dan suami, Mohd Amli Mohd Mohiyadeen, 37, membawa bot milik sendiri yang diletakkan di atas bumbung Perodua Myvi untuk membantu mangsa yang masih terkandas di penempatan masing-masing.

Ibu kepada dua anak itu berkata, mereka bertolak dari rumah di Tanjung Tualang pada 2 petang semalam, sebelum tiba di pejabat Agensi Pertahanan Awam (APM) Segamat, 9.30 malam tadi, untuk mendaftar dengan agensi itu.

Menurutnya, mereka meredah hujan sepanjang perjalanan dan bermula di Gemencheh, Negeri Sembilan air sudah mula melimpah.

"Pagi tadi, sebaik saja bangun daripada tidur, saya menerima mesej rakan yang bertanyakan adakah kami pergi ke Segamat (untuk misi banjir) dan setakat petang semalam? Kami lihat sudah ada 27 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

"Saya difahamkan Kampung Jawa, Kampung Paya Lang dan Kampung Paya Pulai antara yang terjejas serius. Setakat malam tadi, paras air Sungai Muar setinggi lebih 19 meter (m) dan ada beberapa kawasan kedalaman setinggi tujuh m," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Azura, mereka juga sudah bersiap sedia dan misi bantuan akan dimulakan pagi ini selepas mendapat arahan lanjut daripada pihak APM, dengan niatnya mahu membantu sedaya mungkin.

Menurutnya, mereka juga ada menerima mesej daripada individu dipercayai mangsa banjir yang meminta bantuan.

"Kami berehat di tepi Sungai Segamat, malam tadi dan arus airnya laju. Kami bawa khemah dan kalau tiada tempat sesuai kami akan tidur di dalam kereta saja, tetapi itu bukan masalah besar buat kami kerana yang penting mangsa dapat diselamatkan.

"Setakat ini, kami akan fokus di satu lokasi saja dulu di Kampung Jawa. Kami juga membawa lima jaket keselamatan untuk mangsa yang menaiki bot kami yang panjangnya cuma 3.6 m saja.

"Bot itu boleh membawa lima penumpang iaitu saya dan suami serta tiga mangsa jika air tenang, tetapi kalau arus laju kami boleh bawa dua mangsa saja untuk sekali trip," katanya yang juga pencipta kandungan bersama suami, sepenuhnya masa.

Azura berkata, sebagai anak kelahiran Felda Palong Timur Satu, Segamat, dia juga mahu membantu 'orang kampungnya' yang terjejas banjir biarpun kampung dan keluarganya tidak terbabit dalam bencana berkenaan.

Katanya, sebelum ini juga mereka turut membantu mangsa banjir di Seri Muda, Selangor pada 2022 dan di Terengganu, Kelantan dan Pahang, tahun lalu.

"Empat jalan utama untuk ke kampung saya sudah terputus, namun setakat ini kampung tidak dilanda banjir, malah ibu bapa, adik bongsu, seorang anak saudara dan anak sulung lelaki saya yang pulang bercuti ke kampung juga dalam keadaan baik.

"Sebelum ini, kami sudah pergi ke negeri lain untuk membantu mangsa banjir yang terjejas dengan bot sendiri dan kali ini Segamat pula dilanda banjir.

"Jadi bagi saya ini masanya untuk saya berbakti dengan orang kampung saya pula," katanya sambil memberitahu anak bongsunya di bawah jagaan keluarga angkat, sementara dia berada di Segamat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 8:41 AM