SARIMAH menunjukkan tiang elektrik dilanggar bot dinaiki menyebabkan ibunya lemas akibat terjatuh dalam air banjir pada 2006. FOTO Ahmad Ismail.
SARIMAH menunjukkan tiang elektrik dilanggar bot dinaiki menyebabkan ibunya lemas akibat terjatuh dalam air banjir pada 2006. FOTO Ahmad Ismail.
Ahmad Ismail


“SETIAP kali banjir, saya akan teringatkan arwah ibu, Marsiah Marjuni, 69, yang menjadi mangsa banjir dalam kejadian 13 tahun lalu,” kata mangsa banjir, Sarimah Samikon, 57.

Menurutnya, dalam kejadian 11 malam pada 20 Disember 2006, dia bersama arwah ibu dan 11 mangsa banjir lain dalam perjalanan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Agama Kampung Jawa, Segamat selepas rumahnya di Kampung Padang Lalang dinaiki air.

“Ketika itu, saya bersama suami, Madiwar Nazer, 56, arwah ibu serta tiga anak, Emilia ketika itu berusia 16 tahun, Nurul (12) dan Muhammad Ridhuwan (6) bersama penduduk lain dalam perjalanan ke PPS.

“Tiba-tiba bot dinaiki kami ditolak arus deras menyebabkan ia hilang kawalan lalu melanggar sebatang tiang elektrik dan terbalik.

“Yang peliknya, kawasan yang gelap gelita ketika itu tiba-tiba bercahaya dan ia membantu kami mendapatkan perlindungan di bumbung sebuah gerai sementara menunggu diselamatkan.

“Ketika di atas bumbung, barulah saya sedar ibu sebenarnya tidak dapat berpaut di kawasan sama sebelum mayatnya ditemui tidak jauh dari lokasi, dua hari kemudian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kemawan, Segamat, hari ini.

Menurutnya, ketika kejadian semua penumpang hanya sehelai sepinggang meninggalkan rumah dan diselamatkan bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Segamat serta Bandar Putra pada 3 pagi.

Katanya, keluarganya reda dengan kejadian itu dan tidak pernah menyalahkan mana-mana pihak kerana sedar betapa sukarnya pihak berkuasa menjalankan tugas untuk menyelamatkan mangsa banjir.

“Saya menghargai dan berterima kasih kepada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), JBPM, anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat serta pelbagai agensi lain yang berkorban bagi membantu mangsa banjir.

“Hidup lebih 1,000 mangsa banjir dalam kesusahan dan mungkin rumah anggota serta pegawai terbabit turut terjejas, namun mereka tidak pernah meninggalkan tanggungjawab untuk membantu mangsa banjir lain.

“Saya nasihatkan orang ramai supaya segera berpindah ke PPS apabila diarahkan pihak berkuasa kerana ia bertujuan menjaga keselamatan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 7:18 PM